Monday, April 2, 2012

PEPERIKSAAN KHAS MEMASUKI PERKHIDMATAN AWAM GRED 41


Minggu lepas saya terjumpa dengan seorang kenalan lama yang telah berpindah tempat kerja (kerja yang sama tapi tempat saja lain) yang datang untuk mengambil beberapa dokumen yang masih belum selesai. Memandangkan urusan tersebut memerlukan sedikit masa maka dia datang berjumpa saya dan kami pun bersembang pelbagai perkara memandangkan dia sudah setahun berpindah.

Walaupun dia seorang pegawai kerajaan tetapi bercita-cita menjadi seorang PTD ( Pegawai tadbir dan Diplomatik) mungkin itu ialah cita-citanya sejak dahulu. Saya sebagai rakan hanya memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan cita-cita tersebut memandangkan jawatan PTD ini memang diketahui agak sukar untuk diperolehi kerana banyak cabaran dalam pemilihannya. Salah satu saringan awal ialah mesti lulus Peperiksaan Khas Memasuki Perkhidmatan Awam Gred 41, masalahnya sekarang ini dia masih belum pernah lulus peperiksaan tersebut. Oleh yang demikian alasan tersebut telah menjadi bahan ketawa antara saya dan rakan lain, kononnya dia belum benar-benar layak untuk mendudukinya walaupun memiliki ijazah sarjana muda memandangkan peperiksaan PTK 1 pun dia belum lulus IV/IV lagi. Oleh itu dia telah mencabar saya dan rakan lain untuk mencubanya, namun oleh kerana saya yang paling kuat menyakat dan ketawa maka sayalah sararannya untuk menyahut cabaran itu.


Jadi sebagai menyahut cabaran tersebut, maka awal 2010 saya pun mendaftarkan diri dan memohon untuk mengambil peperiksaan khas tersebut walaupun bukan sebagai jawatan PTD (M 41) sebaliknya jawatan gred P 41 dan N 41. Soalannya sama cuma jawatan sahaja yang berlainan. Oleh itu, ditakdirkan tuhan pada 25 Mac 2010 saya menerima surat panggilan menduduki peperiksaan tersebut pada 10 April 2010 di IPDA. Rakan saya juga mendapat panggilan yang sama dengan jawatan PTD tetapi pusat peperiksaannya di Pulau Pinang. Saya memaklumkan kepada rakan saya tentang tawaran peperiksaan tersebut dan bertanyakan kepadanya tentang soalan yang akan ditanya memandangkan dia ada pengalaman. Maka macam-macam penerangan dan tips yang dia berikan disamping macam-macam pesanan yang diberikan tentang peperiksaan tersebut. Memandangkan saya sendiri belum pernah merasainya, saya pun patuh setiap perkara yang diberikan. Semua isu semasa, pengetahuan am dan maklumat saya teliti, baca dan faham. Asas matematik dan inggeris pun saya tengok sikit-sikit sebab memang termasuk dalam sukatan ujian tersebut.

Bahagian 1:

A : Pengetahuan am mengenai malaysia & alam sekeliling, 50 soalan, 40 minit.


B: Daya penyelesaian masalah, kemahiran logik, menginterprestasi data, konsep matematik, 40 soalan, 45 minit.


C: Kefahaman bahasa melayu dan inggeris, kemahiran memindah maklumat, kefahaman, tatabahasa dan kosa kata, 40 soalan, 45 minit.


D : Esei bahasa melayu, penguasaan bahasa, jelas, teratur, munasabah, 3 jawab 1, 1 jam, 300 hingga 500 perkataan.


E : Esei bahasa inggeris, penguasaab bahasa, jelas, teratur, munasabah, 3 jawab 1, 1 jam, 200 hingga 300 perkataan.


Bahagian 2


A : Sahsiah diri, kenalpasti profail sahsiah calon, 40 minit, 200 soalan.


B : Minat, 20 minit, 227 soalan


Menjelang tarikh dan masa yang ditetapkan iaitu hari Sabtu, maka saya pun pergi ke tempat peperiksaan tersebut. Didapati memang ramai yang datang, ada yang muda dan ada yang berumur antara 20-an hingga 40-an rasanya. Macam-macam jawatan termasuk pegawai bomba, imegresen, kastam, pegawai keselamatan, penguatkuasaan, siasatan, AADK, PTD dan sebagainya. Mereka yang datang pula ada yang baru mencuba, mencari kerja baru, yang sudah bekerja, yang hendak bertukar kerjaya dan ada nak pohon naik pangkat dan sebagainya termasuklah saya. Oleh itu bila sudah sampai waktunya saya pun masuklah ke dalam dewan besar, rasa macam hendak ambil peperiksaan semasa di U dahulu walaupun sudah 10 tahun saya meninggalkannya.

Peperiksaan bermula jam 8.00 pagi hinggalah jam 4.30 petang, berterusan dengan diselang-seli antara masa kertas peperiksaan tamat dan waktu rehat tengah hari. Soalannya pula pelbagai ada BM, BI, Matematik, Pengetahuan am dan sasiah. Bagi BM kalau tidak salah terdapat 3 karangan yang melibatkan pelbagai tajuk jadi saya memilih satu daripadanya berkaitan dengan industri pertanian di negara kita dengan menulis 3 helai kertas dalam 5 isi bagi setiap perenggan. Itulah kali pertama sejak beberapa tahun saya mula menulis karangan semula. Agak susah juga sebab sudah lama tidak menulis, cuma membaca sahaja yang banyak. Begitu juga dgn BI saya memilih satu tajuk yang berkaitan dengan penggunaan laman sosial dikalangan masyarakat, itu pun hanya tak sampai 2 helai. Selain karangan terdapat juga soalan objektif dalam BM dan BI yang berkaitan pengetahuan am tentang dunia, serantau, organisasi, hiburan, semasa dan sebagainya. Memang diakui kalau kurang membaca memang sukar untuk dijawab.

Bagi soalan matematik pula, ianya tidaklah seperti soalan SPM sangat tetapi lebih kepada analisis berkaitan angka, bilangan, masa, jarak dan sebagainya. Walaupun begitu ianya mengambil begitu banyak masa untuk berfikir walaupun berbentuk objektif. Sebelah petangnya diberi soalan objektif berbentuk penilian sasiah. Soalannya agak mudah tetapi sangat banyak sampai lebih 200 soalan sedangkan masa yang sangat terhad. Memandangkan sudah hampir petang dan rasa letih menjawab, saya pun main tanda sahaja kerana hendak balik awal. Pada awal peperiksaan pagi tadi ramai yang ambil tapi sebelah petangnya hampir ¼ sudah tiada. Pelbagai alasan yang diberikan antaranya soalan susah, gagal menjawab dengan baik, ada kerja lain dan sebagainya. Saya pun ada rasa yang sama tapi memandangkan ini satu pengalaman yang jarang-jarang kita dapat maka saya gagahkan diri jugak. Habis sahaja menjawab saya terus pulang ke rumah dan sampai sekitar jam 5.30 petang.

Saya meneruskan kerja macam biasa, sampailah tarikh sebenar keputusan keluar. Ketika itu saya berada di luar kawasan, selepas sebulan keputusan telah keluar pada 17 Mei 2010 dan disemak oleh isteri saya di internet bahawa saya telah LULUS peperiksaan tersebut. Perasaan terlalu gembira itu tidak adalah sangat, sebab bukan tinggi sangat pun harapan saya untuk itu, kerana kalau lulus pun bukan memberi apa-apa faedah pun untuk diri saya cuma sekadar pengalaman sahaja. Lain lah semasa lulus PTK 1 semasa tahun 2008 dahulu boleh jugak ubah tangga gaji dari P1 ke P2. Sampai sahaja di tempat kerja saya memaklumkan tentang keputusan peperiksaan saya, tetapi malangnya rakan saya itu tetap jugak GAGAL. Jadi saya telah membuat kesimpulan dihadapannya bahawa dia sebenarnya belum bersedia untuk mengambil peperiksaan tersebut kerana mungkin kekurangan pengetahuan ataupun gagal dalam membuat penulisan yang baik. Kali ini saya tidak ketawa lagi sebab saya tahu perasaannya tapi orang lain pulak yang kuat ketawakanya. Walaupun saya rasa saya ini ada pelbagai kekurangan tapi kalau kita tidak cuba hadapi cabaran kita tidak tahu keupayaan kita. Walupun benda-benda macan ini nampak remeh tapi baik untuk pengalaman sendiri.

Untuk pengetahuan semua atau mungkin ramai yang sudah tahu, apabila kita lulus peperiksaan khas ini, rekod kelulusan kita boleh bertahan selama 5 tahun bagi setiap satu pengambilan bagi menghadiri Program Asessment Centre (PAC). PAC ini dikira penilaian berpusat ke atas inidividu sebelum layak menduduki temuduga jawatan yang dipohon. Katanya mengambil masa beberapa hari di pusat penilaian yang ditetapkan antaranya di INTAN dan sebagainya. Jadi dalam masa 5 tahaun rekod kita akan disimpan selagi tiada pengambilan untuk jawatan tersebut dan jika sekiranya sudah ada pengambilan rekod tersebut akan terbatal secara automatik walaupun kita tidak dipanggil untuk PAC. Ini bermakna jika ada pengambilan bagi jawatan yang kita pohon dan lulus peperiksaan khas tapi tidak dipanggil ke PAC atas sebab-sebab tertentu, maka kelayakan kita untuk sesi pengambilan tersebut dikira tamat walaupun kita tidak dipanggil ke PAC dan sekiranya masih berminat boleh memohon semula dan mengambil peperiksaan khas itu sekali lagi pada masa akan datang. Sekiranya jawatan yang dipohon masih belum dibuat PAC maka harapan tetap ada tapi dalam 5 tahun sahaja, jika tiada pengambilan atau PAC selepas 5 tahun, kena pohon dan ambil peperiksaan semula. Hal ini terjadi ke atas jawatan yang saya pohon iaitu P41 dimana individu yang dipanggil untuk PAC hanya untuk mereka yang mendapat 2.75 berkelulusan perakaunan dan undang-undang sahaja, maka mereka yang berkelulusan selain yang disebut tidak layak ke PAC, jadi secara automatik permohonan saya untuk jawatan tersebut telah gugur dengan sendirinya. Cuma satu lagi jawatan yang masih terbuka ialah N 41 sekiranya ada pengambilan untuk beberapa tahun ini sehingga tamat tarikh akhir tahun 2015. Walau bagaimanapun itu tidak menjadi beban kepada saya memandangkan saya memang telah menjadi pegawai kerajaan gred 41 tetapi kalau berpeluang apa salahnya mencuba kerana jika tidak mencuba kita pasti tiada peluang langsung.

Walau apa pun itulah cabaran yang perlu ditempuhi bagai ramai orang yang berada diluar sana untuk mengenggam jawatan sebagai pegawai kerajaan gred 41.