Monday, February 13, 2012

Unit Udara APMM



Unit Udara APMM adalah antara unit udara yang agak baru di negara kita selaras keperluan penguatkuasaan dan SAR (mencari & menyelamat) di perairan negara.

Walaupun penubuhannya hanya bermula November 2005, namun pemilikan aset seperti bot dan kapal agak memberansangkan kerana disumbangkan oleh beberapa agensi penguatkuasa maritim laut sebelumnya spt TLDM, Polis Marin, Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Kastam, Jabatan Imigresen dan Majlis Keselamatan Negara. Biarpun aset ini ada yang agak usang tetapi penyenggaraan yang baik menjadikannya boleh dioperasikan dengan sempurna.


Eurocopter AS365 N3 Dauphin


Berdasarkan peruntukan RMK 9, APMM telah membuat perolehan pesawat udara bermula dengan 3 unit helikopter Eurocopter AS365 N3 Dauphin pada Jun 2007, 2 unit pesawat amfibia Bombardier 415MP pada September 2008 dan 3 unit helikopter AgustaWestland AW139 pada Disember 2010.



Bombardier 415 MP


Sebagai rakyat kita tumpang berbangga dengan perolehan ini, ditambah pula pada acara LIMA 09, pesawat Eurocopter serta Bombardier membuat pertunjukan di Awana Porto Malai dan Langkawi Int. Airport. Juruterbang semua pesawat ini dipinjamkan dari TUDM dan PUTD (pasukan Udara Tentera Darat).

Namun malang menimpa, apabila Eurocopter serta Bombardier gagal melalui proses penyenggaraan yang sepatutnya. Masalah ini berlaku akibat kegagalan melantik kontraktor penyenggaraan oleh JPM kerana disyaki berlaku penyelewengan dalam kontrak sebelumnya. Ini menjadi petanda yang kurang baik kepada masyarakat samaada semua pesawat ini bakal menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’ atau sebaliknya akibat ketirisan dalam pengurusan kewangan dan amanah yang diberikan.


AgustaWestland AW139


Kesannya APMM kekurangan lebih 50% aset udara untuk operasi. Selain itu, juruterbang dan krew akan kehilangan ‘rating’ untuk mengoperasikan pesawat Bombardier akibat terlalu direhatkan sejak 2010. Biasanya latihan semula perlu dibuat di fasilitis milik Bombardier di Kanada sebelum disahkan kompeten semula. Dengan kos dan masa latihan yang terhad kemungkinan hanya seorang juruterbang sahaja yang akan dihantar ke sana.

Hakikatnya, itulah kesan yang akan berlaku apabila kita gagal merancang dalam tindakan, maka pembaziran akan berlaku sekali gus peruntukan kerajaan hilang tanpa hasil yang baik untuk negara.


No comments:

Post a Comment